BENARKAH GOUT DISEBABKAN TAHAP ASID URIK YANG TINGGI?
Kebiasaannya saya dapat meneka pesakit saya yang masuk ke dalam bilik pemeriksaan berdengkut-dengkut, selalunya disebabkan oleh masalah gout. Terutama di musim perayaan termasuk Hari Raya Aidil Fitri.
Namun apa yang lebih menarik perhatian saya ialah pesakit gout semakin hari semakin menyerang orang muda. Saya pernah melihat pesakit gout seawall 25 tahun. Tidak lagi seperti dulu. Selalunya penyakit ini menyerang selepas berusia 50 tahun.
Gout adalah sebahagian dari penyakit arthritis iaitu keradangan sendi yang menunjukkan tanda sakit yang keterlaluan, bengkak pada sendi, dan sendi tidak boleh dibengkokkan dengan mudah. Pergerakan yang melibatkan sendi tersebut akan menyebabkan rasa sakit. Selalunya sendi yang terlibat ialah sendi pada ibu jari kaki.
Ramai yang tidak mengetahui bahawa gout berkai rapat dengan penyakit metabolic seperti diabetes dan tekanan darah tinggi. Oleh itu, ramai yang meganggap gout adalah sebahagian dari ‘penyakit empat serangkai’ iaitu diabetes mellitus, hypertension, tahap kolestrol yang tinggi dan gout itu sendiri.
Selain itu gout juga akan sangat berkait dengan penyakit kardiovaskular. Jadi seorang pesakit gout tidak seharusnya hanya memeriksa tahap asid urik dalam tubuh tetapi juga pemeriksaan yang berkaitan dengan kesihatan jantung.
Gout selalunya menyerang pesakit lelaki, dan saya belum pernah melihat penyakit ini di kalangan pesakit wanita. Namun begitu wanita yang telah memasuki fasa menopause, lebih mudah untuk mendapat penyakit itu berbanding dengan wanita yang masih muda dan subur.
Kebanyakan penyakit ini dirawat dengan ubat penahan sakit atau ubat yang merendahkan tahap asid urik dalam tubuh. Tujuannya untuk meredakan rasa sakit ketika diserang gout, mengelakkan ia berulang dan mengelakkan komplikasi seperti pembentukan batu karang dalam ginjal dan kecacatan pada sendi yang diserang.
Jadi ubat sintetik yang digunakan sama ada:
1. Ubat penahan sakit yang diberikan ketika pesakit mengalami rasa sakit
2. Mengurangkan pembentukan asid urik (xanthine oxidase inhibitors seperti allopurinol)
3. Meningkatkan pembuangan asid urik melalui air kencing (seperti probenecid).
Jika ubat sintetik ini tidak diambil, serang sakit gout akan bertambah teruk antara 12 hingga 24 jam, dan hanya akan berasa lega selepas 1 hingga 2 minggu tanpa rawatan.
Ramai yang mengaitkan penyakit gout dengan tahap asid urik yang tinggi. Apa yag menariknya tidak semua pesakit yang diserang gout mempunyai tahap asid urik yang tinggi dan ada juga kes di mana pesakit yang mempunyai tahap asid urik yang normal mengalami serangan sakit gout.
Oleh itu untuk mendiagnosa penyakit gout tidak boleh dikaitkan serratus peritus dengan tahap asid urik dalam darah. Seperti mana yang saya beritahu, ada pesakit yang diserang gout tetapi pemeriksaan asid urik menunjukkan tahap yang normal.
Pada satu ketika dulu (sekarang jarang dilakukan), doctor mendiagnosa penyakit gout dengan mengambil sampel cecair dalam sendi yang terlibat bagi memeriksa kehadiran urate crystals.
Pemeriksaan xray tidak memberikan sebarang makna seorang pesakit diserang gout kecuali jika sendi yang terlibat sudah mengalami kecacatan akibat pengumpulan kristal.
#HealthDrZubaidi
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2368849589801769&id=185816391438444
No comments:
Post a Comment